Friday, March 22, 2013

PENGHULU SEGALA HARI...




Bismillah..

Assalamualaikum w.b.t..




Hari ini merupakan hari jumaat.Dimana ia merupakan penghulu segala hari.Hari jumaat juga merupakan hari raya bagi umat islam keseluruhannya.

Apa yang istimewa dengan hari jumaat ni?Apa bezanya hari jumaat dengan hari-hari yang lain?Bukannya sama je dengan hari -hari lain ke?Hari yang wujud untuk mencukupkan hari-hari kita agar menjadi 7 hari.Bagi orang yang mengkaji tentang rahsia-rahsia kewujudan hari,pasti dia akan mengetahui keistimewaan yang ada pada hari jumaat ni.

Baiklah.Kepada yang belum mengetahui,mari saya khabarkan.Tapi ni setakat pengetahuan saya je lah ye.Saya pun belum mengkaji dengan lebih mendalam lagi tentang rahsia hari-hari ni.Jadi,saya berkongsi apa yang saya tahu je ye.

Sebenarnya banyak kelebihan dan keistimewaan hari jumaat ni.Kerana apa saya cakap hari jumaat ni istimewa?Cuba kita fikir.Fikir dan teruskan berfikir.

Kerana hanya pada hari jumaat sahaja kaum Adam diperintahkan untuk menunaikan solat jumaat.Tidak pada hari yang lain.Keterangan ini berlandaskan firman Allah yang termaktub dalam surah Al-Jumu'ah ayat ke-9 yang membawa maksud :"Wahai orang-orang yang beriman!Apabila telah diseru untuk melaksanakan solat pada hari jumaat,maka segeralah kamu mengingat Allah dan tinggalkanlah jualbeli.Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui."

Solat Jumaat merupakan solat 2 rakaat yang dilaksanakan selepas khutbah Jumaat bagi menggantikan solat fardhu Zuhur.Solat Jumaat hanya diwajibkan oleh Allah s.w.t kepada orang lelaki.Dan kepada yang meninggalkannya,hukumnya adalah berdosa besar.

Selain itu,terdapat banyak kelebihan,faedah,hikmah dan fadhilat bagi sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari jumaat.Surah Al-Kahfi yang bererti gua adalah surah yang ke-18 dari Al-Quran dan mengandungi 110 ayat keseluruhannya.Ia dinamakan Al-Kahfi kerana dari ayat 9 hingga 26 daripada surah ini menceritakan penduduk gua yang ditidurkan oleh Allah s.w.t selama lebih 300 tahun demi untuk mempertahankan iman mereka yang amat teguh terhadap dasar tauhid.

Terdapat beberapa hadith Rasulullah s.a.w yang menyebut tentang kelebihan mengamalkan surah ini.Di antaranya ialah sabda baginda diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dari Abi Said Al-Khudri bermaksud :"Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada malam jumaat maka terpancarlah cahaya diantaranya dan Baitullah."

Imam Ahmad berkata,daripada Abi Darda',daripada Nabi s.a.w,baginda bersabda :"Sesiapa menghafaz sepuluh ayat permulaan Surah Al-Kahfi maka terhindar dari dajjal." (HR Muslim,Abu Daud,An-Nasai,At-Tirmizi daripada Qatadah)

Imam Ahmad berkata,daripada Abi Darda',Nabi s.a.w bersabda :"Sesiapa membaca sepuluh ayat terakhir daripada Surah Al-Kahfi,maka terhindarlah ia daripada fitnah dajjal." (HR Muslim dan An-Nasai)

Daripada Umar beliau berkata,Nabi s.a.w telah bersabda :"Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari jumaat,maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit,untuknya di hari kiamat dan diampunkannya antara 2 Jumaat." (HR Ibn Katsir)

Sepotong hadith lagi daripada Rasulullah s.a.w bermaksud :"Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada malam atau siang Jumaat,maka diampunkan dosanya hingga Jumaat akan datang;dan 70 000 malaikat memohonkan rahmat kepada Allah s.w.t hingga waktu Subuh,dan dijauhkan Allah dari terkena wabak penyakit demam panas atau taun,penyakit sopak,dan dijauhkan dari fitnah dajjal."

Lihatlah!Begitu besarnya fadhilat dan kelebihan membaca dan mengamalkan surah Al-Kahfi pada hari Jumaat.Adakah kita yang telah mengetahuinya sanggup untuk menyia-nyiakan waktu itu pergi dengan begitu sahaja tanpa berusaha untuk membuat amal agar dapat menjadi bekalan ke hari pengadilan kelak.Dengan itu,sama-samalah kita mengisi kekosongan hari Jumaat kita dengan membaca hanya 110 ayat Al-Quran daripada surah Al-Kahfi yang mana fadhilat dan pahalanya akan mengejar kita kerana amalan itu.

Disamping itu,hari Jumaat juga dikatakan unik dan istimewa kerana sesiapa yang ingin berpuasa pada hari ini,dia perlu menggandingkan puasanya dengan hari Khamis ataupun  hari Sabtu.Ia tidak seperti hari Isnin dan Khamis yang merupakan hari yang sunat untuk kita berpuasa.Malah,untuk berpuasa pada hari Jumaat sahaja hukumnya adalah makruh.Keterangan ini juga diteguhkan dengan hadith Nabi s.a.w.Daripada Abi Hurairah r.a,beliau berkata :Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :"Janganlah seseorang daripada kamu berpuasa pada hari Jumaat melainkan dia berpuasa pada hari sebelumnya atau selepasnya." (Muttafaq 'Alaih)

Sebenarnya bukan itu sahaja.Ada banyak lagi perkara-perkara yang disyorkan atau disarankan untuk kita lakukan pada hari Jumaat ni.Misalnya ialah kita digalakkan untuk mandi sunat hari jumaat,bersedekah,berdoa pada waktu mustajab,berselawat keatas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w,memakai wangi-wangian dan sebagainya.Semua itu adalah merupakan wasilah untuk kita memperoleh pahala yang berganda dari Allah s.w.t.

Dari itu,marilah kita bersama-sama berpimpin tangan menuju ke syurga Ilahi dengan melakukan sebanyak mungkin amalan-amalan kebaikan agar kita boleh menjadikannya sebagai bekalan untuk menuju gerbang akhirat disamping dapat menampal koyakan dosa yang telah kita lakukan selama hidup kita.

Mungkin coretan saya ini tidak seberapa untuk dibandingkan dengan ustaz dan ustazah di luar sana.Tapi sekurang-kurangnya saya ada sesuatu yang ingin saya sampaikan untuk saya mengingatkan diri saya dan semua saudara seislam saya.

Semoga coretan ini dapat difahami dan diambil 'ibrah darinya.Sama-sama menginterprektasi diri kearah yang lebih baik dan lebih diredhai Allah 'Azzawajalla.

Salam jumaat dan wallahu a'lam...

No comments:

Post a Comment