Bismillah..
Assalamualaikum w.b.t..
3:47 a.m..
Berkumandang azan pertama di suluruh pelosok Jordan. Tujuannya tidak lain hanyalah ingin mengejutkan seluruh khalifah untuk bersedia sujud menghadap yang Esa. Tidak ku nafikan, subuh awal pada semester kali ini. Pukul 5 pagi bagaikan pukul 7 pagi di Malaysia. Sedangkan malamnya terlalu lewat. Tompokan awan biru masih menghiasi langit saat jarum jam telah menginjak ke angka 8 malam. Inilah yang dikatakan kuasa Allah.
FirmanNya di dalam surah Ar-Rahman :
" Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang ingin kamu dustakan.."
Subuh yang tenang dan harmoni. Dengan kokokan ayam putih yang berkeliaran. Di sambut dengan kicauan burung yang bersahut-sahutan. Terasa seperti berada di kampung halaman tercinta. Namun, ada kelainan pada pagi ini. Semua pintu bilik tertutup rapat dalam kesamaran cahaya pada pagi ini.
Bangun pada waktu pagi umpama menjemput rezki di pintu rumah. Rezki itu umpama tetamu. Andai ada tetamu yang datang bertandang ke rumah tatkala kita sedang tidur atau tiada di rumah, mereka pasti akan berlalu pergi. Betul tidak? Sebab itu dulu umi selalu pesan agar tidak tidur selepas waktu subuh. Ia umpama membiarkan rezki kita berlalu pergi.
6:00 a.m..
Seusai solat dhuha, aku berjalan ke seluruh pelosok rumah. Terasa benar sunyinya. Bermula hari ini, hanya 2 orang yang akan menghuni Insyirah Village ni. Hanya aku dan Sara. Kepergian mereka benar-benar meragut keriangan dan gelak tawa di rumah ini. Meski hanya tidak sampai 24 jam berpisah, hati telah membisik rindu. Rindu dengan keletah mereka. Rindu dengan keriuhan bayt tatkala semua berkumpul. Rindu saat-saat bersama semua.
Ternyata hidup berdua tidaklah segembira yang disangka. Saat inilah juga rindu suara-suara yang memberi kekuatan tatkala hati terasa rapuh dengan ujian. Dan tika inilah juga terasa dunia ini kosong tanpa usikan dan sakatan. Bagai sebahagian jasad dipisah jauh. Barulah terasa nikmat ukhuwah dan bersahabat.
8:00 a.m..
Pintu bilik ku kuak sedikit. Melihat sekitar ruang kamar yang ditinggal sebelum perlahan-lahan kaki melangkah masuk. Katil besi milik Shaf menjadi tempat aku melabuhkan duduk. Memerhati sekeliling. Sungguh. Rindu itu bertamu lagi. Dengan pantas sliding window ku buka. Membiarkan udara pagi menerjah masuk ke bilik yang sudah sehari kosong ini. Mengemas dan menyapu menjadi aktivitiku di pagi sabtu ni.
11:00 a.m..
Mata ku kedip-kedipkan beberapa kali sambil tangan menutup kuap. Allah. Bila masanya aku tertidur ni. Ku angkat tangan kiriku. Masih memegang penyapu. Aku tertidur sewaktu menyapu bilik Shaf. Pelik. Macam mana aku boleh tertidur. Bukannya tadi aku menyapu ke. Hahaha. Aku terus bangun dan menyiapkan saki baki sapuan yang terbengkalai tadi. Tulah. Rindu punya pasal. Tak menyempat nak siapkan sapu dah tertidur.
2:00 p.m..
Ayam dan sayur aku keluarkan dari peti sejuk. Tangan ligat mencuci beras di dalam periuk. Buat pertama kalinya aku masak sikit selama aku menetap di Jordan. Ayam masak merah menjadi menu pilihan aku pada petang ini. Namun, aku terasa janggal. Hari ini, tiada siapa yang akan menjenguk aku di dapur. Tiada lagi ungkapan "Athira, masak apa tu?". Tiada lagi jeritan "Wah! Sedapnye bau..". Dan tiada lagi orang yang akan masuk ke dapur untuk menyebuk-nyebuk menolong aku memasak.
6:00 p.m..
Safrah ku bentang. Nasi dan lauk ku ceduk perlahan-lahan dan ku tuang di atas safrah. Sara hanya memandang aku tak berkelip.
" Susah kita nak dating berdua ni. Hari ni kita dating berdua ea Sara..". Sara hanya gelak mendengar kata-kata ku.
Rindu untuk makan beramai-ramai di dalam 1 safrah di atas meja jepun.
"Makan apa la agaknya diorang kan Sara."
"Ala kak. Diorang punya makanan mesti lagi sedap-sedap kak. Makanan mak masak pulak tu. Huhuhu. Akak, saya nak balik Malaysia..". Ah sudah. Time makan ni la jugak nak teringat Malaysia.
"La. Menangis pulak dia. Bukannya tak balik. Balik juga lepas soifi nanti kan. Nanti tinggal la akak sorang-sorang kat sini. "
"Ala. Akak, sorry la. Jangan la touching-touching. Jom makan kak."
Makan malam kali ini tidak seceria selalu. Almaklum la. Tinggal berdua. Ketawa pun tak semeriah tinggal berlapan. Sungguh! Aku rindu mereka.
9:30 p.m..
Sepanjang hari ini aku terbayang dan terkenangkan mereka yang jauh nun di Malaysia sana. Apabila aku solat dan membaca Al-Quran, sedikit sebanyak perasaan rindu itu reda sebentar. Hanya doa yang mampu ku tembakkan pada mereka agar sentiasa dilindungi oleh-Nya.
12:00 a.m
Tatkala tabir malam menjelma menyingkap takdir kesiangan, langit kelihatan gelap pekat. Biah ku rasa semakin sepi. Sesepi ruang kamarku saat ini. Katil di sebelah kulihat kosong tanpa penghuni. Sara sudah lama terlena di kamar sebelah. Mungkin seharian ke kuliah dan berjalan dalam keadaan soifi sebegini membuatkannya cepat letih dan penat. Ah, biarlah dia tidur. Malas ingin mengganggu. Fikiranku terus menerawang mengimbas saat-saat mereka berada di sisi. Memutar semula memori dan nostalgia semalam. Doa tak putus-putus ku kirimkan buat keluarga dan sahabatku di Malaysia. Semoga Allah menjagakan mereka untuk ku. Biar kasih dan sayang ku pada mereka terus mekar dalam jambangan rindu yang menggebu.
# Selamat Malam Sahabat..Maafkan aku.. =(